Portal Pertama Permohonan Pembiayaan Koperasi Secara Bersepadu

KELANA JAYA, 17 Januari 2019 – Anggota koperasi yang layak kini boleh membuat permohonan pembiayaan koperasi secara atas talian. Anggota koperasi hanya perlu melihat promosi terkini dari panel-panel koperasi kredit dan membuat segala urusan secara atas talian. Program pembangunan portal ini merupakan kerjasama antara anak syarikat ANGKASA iaitu MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dan Sukaniaga Sdn Bhd.

Portal yang dikenali sebagai Portal MyAzZahra telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya baru-baru ini.

Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada lebih 6 juta anggota koperasi yang melibatkan 14,094 buah koperasi bagi mendapatkan maklumat dan tawaran pembiayaan dari koperasi-koperasi yang tersenarai serta membuat perbandingan yang bersesuaian kepada keperluan anggota sebelum membuat permohonan. Dianggarkan pada tahun ini, transaksi pembiayaan yang menggunakan Portal MyAzZahra adalah lebih dari 1 bilion Ringgit Malaysia dan akan mencecah lebih 3 billion Ringgit Malaysia pada tahun
2020.

Portal MyAzZahra merupakan sistem yang menerima dan memproses permohonan. Kelulusan pembiayaan juga dapat dilakukan secara cepat, efisien, telus dan berintegriti selain dapat mengekang kes-kes penipuan dan kecuaian. Anggota koperasi boleh melengkapkan proses permohonan pembiayaan walau dimana pun mereka berada kerana semuanya boleh dilakukan secara atas talian.

Sistem ini melengkapkan & mentransformasi persekitaran proses pembiayaan konvensional, kepada kaedah digital sepenuhnya bagi
menggalakkan pemohon mengakses maklumat tawaran pembiayaan dengan mudah, tepat dan jelas.

Menteri Pembangunan Usahawan, YB Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kepada pemberita selepas Program Perasmian Portal MyAzZahra “Portal ini dapat memantapkan lagi perniagaan koperasi dan selanjutnya membantu koperasi untuk berkembang serta bersaing secara sihat di era digital ini. Apa yang penting pada kerajaan adalah bila mana portal ini mampu menjana maklumat yang tepat, telus dan terkini, malah ekonomi digital adalah sesuatu yang pesat membangun di dalam negara dan juga diperingkat antarabangsa dan ia melibatkan hampir kesemua rakyat dalam negara ini dan koperasi harus tidak ketinggalan dalam arus era digital ini”

Objektif utama kerjasama ini adalah bagi menggiatkan perniagaan kredit untuk Gerakan Koperasi dan memberi impak yang signifikan kepada KDNK Negara. Dengan berkembangnya industri pembiayaan koperasi, sekaligus dapat memantapkan perniagaan-perniagaan lain yang turut diusahakan oleh koperasi dan aggota-anggotanya.

Portal MyAzZahra dibangunkan bukan sahaja menghubungkan koperasi dengan bakal-bakal peminjam malah turut menyediakan sistem yang bersepadu, yang menghubungkan koperasi dengan panel-panel pembiaya yang menawarkan pembiayaan terus kepada semua sektor koperasi bagi mengembangkan perniagaan-perniagaan koperasi.

Turut hadir adalah YBhg Dato’ Abd Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization dan Pengerusi MyANGKASA Az Zahra Sdn Bhd.

-TAMAT-

Artikel berkaitan